Tengku Zafrul mungkin anggap hilang kerja, muflis, masalah kecil macam kacang!

Tengku Zafrul mungkin anggap hilang kerja, muflis, masalah kecil macam kacang!

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dilihat seolah-olah menganggap tekanan ekonomi yang dialami sebahagian besar rakyat ‘macam kacang’.

Perumpamaan yang digunakannya, “pakai tukul untuk pecah kacang” dalam menolak cadangan moratorium pukal yang baginya seperti terlebih beri bantuan mengundang kritikan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berpendapat apa salahnya guna tukul sekalipun jika itu lebih berkesan dan cepat dalam membantu rakyat yang terkesan teruk akibat Covid-19.

“Apakah hilang kerja, muflis, tutup bisnes, potong gaji dan pendapatan harian merosot adalah masalah kecil macam kacang?

“Sudah setahun Tengku Zafrul jadi Menteri (Kewangan). Apakah masalah macam kacang ini selesai atau tambah teruk?” bidasnya dalam kenyataan di Facebook.

Tengku Zafrul dalam artikel panjang di dalam The Star 5 Jun lalu menulis sebab-sebab mengapa dia tidak mahu memenuhi tuntutan rakyat berkenaan moratorium pinjaman pukal.

Antara lainnya, bekas Ketua Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) itu berkata, kerajaan telah memberi pelbagai bantuan kepada rakyat.

Oleh itu, Senator berkenaan menganggap pemberian moratorium pukal seperti terlebih beri bantuan kononnya seperti “pakai tukul untuk pecah kacang”.

Jelasnya, hanya kerana kerajaan boleh bantu, tidak bermakna kerajaan perlu bantu serta menegaskan Menteri Kewangan tidak mempunyai kuasa mengarahkan bank-bank untuk memberi moratorium kepada rakyat.

Namun, pada masa sama, Tengku Zafrul berkata, pemegang-pemegang saham terbesar bank-bank itu adalah institusi-institusi kerajaan seperti KWSP, PNB, Lembaga Tabung Haji, Socso, dan KWAP sekali gus dilihat bercanggah dengan hujahnya sendiri.

Mengulas lanjut, Puad yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu menegaskan usaha menyelesaikan masalah rakyat perlu disegerakan.

“Kalau kacang, kenapa imbuhan tiga bulan ITK (Imbuhan Tetap Keraian) dan ITKA (Imbuhan Tetap Khidmat Awam) 800,000 penjawat awam disumbang ke akaun Amanah Bencana?

“Menyelesaikan masalah rakyat kerana pandemik tidak boleh tangguh tangguh. Pakai tukul, tukullah,” ujarnya lagi.

Kerajaan tidak mampu

Dalam hal berkaitan, gabungan 28 NGO dan kumpulan masyarakat Melayu dan Islam menggesa moratorium pinjaman automatik tanpa syarat dan faedah atau caj tambahan diberikan selama tempoh enam bulan.

Dalam kenyataan bersama semalam, mereka menegaskan moratorium perlu diberikan kepada golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan keluarga berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40).

Koordinator Gabungan NGO Melayu dan Islam, Ahmad Yazid Othman, berkata moratorium itu amat diperlukan bagi meringankan beban kewangan kerana kerajaan tidak mampu memberikan bantuan tunai yang setimpal dengan kos kerugian yang terpaksa ditanggung rakyat.

Malah, tegasnya, bantuan diberikan setakat ini jauh lebih rendah daripada nilai purata Paras Garis Kemiskinan (PGK) nasional pada kadar RM2,208.

Selain itu, katanya, rakyat juga sedang memerhatikan setiap tindakan yang diambil sama ada ia benar-benar menggambarkan keprihatinan terhadap kumpulan majoriti rakyat yang terkesan kelangsungan hidup mereka sepanjang pandemik.

Ahmad Yazid turut meminta orang ramai yang ingin bersolidariti dengan gesaan tersebut supaya menyokong petisyen yang dilancarkan pada 6 Jun lalu dengan setakat jam 4.30 petang ini sudah mengumpulkan lebih 19,000 sokongan.

“Sokongan boleh dibuat di www.change.org/SelamatkanRakyatBUKANbank,” katanya lagi. – MD

COMMENTS