Selepas heboh bendera putih, Rina minta penduduk hubungi Pusat Khidmat Wakil Rakyat

Selepas heboh bendera putih, Rina minta penduduk hubungi Pusat Khidmat Wakil Rakyat

Selepas heboh gerakan bendera putih bagi membantu rakyat yang terputus bekalan sepanjang akibat pelaksanaan siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak berkesudahan, akhirnya ada menteri bersuara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, penduduk yang terputus bekalan makanan dan keperluan asas diminta segera menghubungi Pusat Khidmat Wakil Rakyat di kawasan Parlimen masing-masing bagi mendapatkan bantuan.

Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (​Bersatu) berkenaan berkata ini berikutan kerajaan sudah menyalurkan peruntukan RM300,000 bagi setiap kawasan Parlimen melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Dia yang juga Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN) memberitahu, ia termasuk di kawasan Parlimen Batu Sapi dan Gerik yang kini kosong.

“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman PEMULIH sudah menyebutkan peruntukan sebanyak RM300,000 akan diberikan kepada setiap Ahli Parlimen.

“Setiap pengundi boleh menghubungi Pusat Khidmat Wakil Rakyat masing-masing, sudah tidak ada isu jika mereka mengatakan tidak ada peruntukan.

“Ia berikutan peruntukan ini diberikan kepada semua Ahli Parlimen tidak kira sama ada mereka dari kerajaan atau pembangkang.

“Kita juga agihkan peruntukan di kawasan Parlimen yang kini ada kekosongan seperti di Batu Sapi dan Gerik, melalui Pejabat Daerah,” lapor BH.

Rina berkata demikian selepas menyampaikan Bakul Prihatin Wanita Perikatan Nasional (PN) di Kampung Bukit Bangkong, Sungai Pelek, di Sepang, petang tadi.

Turut hadir, Ketua Dewan Muslimat Pas Sepang, Kamisah Ahmad.

Rina yang juga Ketua Srikandi Bersatu Sepang, berkata pihaknya mengalu-alukan inisiatif Umno Cawangan Kampung Ulu Chuchoh di situ yang menyediakan Gerobok Rezeki bagi membantu penduduk sekitar yang terjejas akibat penularan Covid-19 dan pelaksanaan PKP.

Katanya, ia satu inisiatif yang dilakukan pemimpin setempat bagi membantu penduduk yang memerlukan.

“Saya juga menyampaikan bantuan. Ini satu inisiatif dalam masyarakat yang membolehkan sesiapa yang mahu menyumbang untuk berkongsi dengan mereka yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Cawangan Kampung Ulu Chuchoh, Misyati Salimi, berkata inisiatif berkenaan dimulakan pada Januari lalu selepas mengesan ada dalam masyarakat di situ yang terputus bekalan makanan.

Beliau berkata, inisiatif itu dimulakan oleh seorang veteran UMNO di kawasan itu dengan sumbangan RM300 dan ia kini dikembangkan termasuk menerima bantuan barangan daripada masyarakat setempat.

“Paling ramai yang terputus bekalan makanan sekitar Jun lalu, terutama membabitkan mereka yang perlu menjalani kuarantin di rumah masing-masing.

“Ada yang berdepan kesulitan selepas kehilangan pekerjaan atau punca pendapatan berkurangan.

“Pada Jun lalu sahaja ada 25 keluarga yang memanfaatkan inisiatif Gerobok Rezeki ini,” katanya.

Penduduk selalunya dibantu dengan barangan asas seperti beras, telur, sardin, minyak masak, gula dan tepung manakala barangan lain diberikan mengikut keperluan.

Bagi mencari dana untuk menampung pembelian barangan keperluan asas itu, Ketua Puteri UMNO cawangan itu, Norhafizah Anuar, turut menghebahkan inisiatif berkenaan melalui media sosial.

Katanya, setakat ini, Gerobok Rezeki itu menerima kira-kira RM1,000 hasil sumbangan orang ramai manakala ada penduduk yang menyumbangkan beras dan keperluan lain dari semasa ke semasa.

 

 

 

 

 

 

COMMENTS