Pemegang 14 rekod jenayah ditahan selepas tular bayi diberi minum arak

Pemegang 14 rekod jenayah ditahan selepas tular bayi diberi minum arak

Polis menahan lelaki berusia 19 tahun bagi membantu siasatan berhubung video tular mengenai tindakan memberi minuman keras kepada bayi di Bayan Lepas, semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, suspek ditahan di sekitar Teluk Bahang, pada jam 1.30 petang semalam.

Katanya, siasatan mendapati lelaki berkenaan mempunyai 14 rekod jenayah lampau.

“Dia juga adalah orang dalam pengawasan polis (OPP) di kawasan berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Kamarul Rizal berkata, mangsa berusia sembilan bulan kini berada dalam keadaan sihat namun dibawa ke hospital bagi pemeriksaan lanjut.

“Kejadian itu didapati berlaku pada Mac lalu di rumah sewa suspek di Kampung Telok Awak, Teluk Bahang.

“Video berkenaan dipercayai dirakam rakan suspek dan ketika itu bayi lelaki berkenaan baru berusia lima bulan,” katanya lagi.

Terdahulu tular satu rakaman video di media sosial menunjukkan lelaki memberi minuman tertera label jenama minuman keras kepada seorang bayi.

Aksi dalam video berdurasi 30 saat tersebut yang turut kedengaran suara wanita mengundang kemarahan orang ramai.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Anti Arak Murah Malaysia, David Marshel berkata, pihaknya membuat laporan polis di Perai hari ini selepas melihat video tersebut.

“Laporan dibuat supaya pihak polis dapat membuat siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pelaku di bawah peruntukan undang-undang.

“Perbuatan terkutuk ini harus dihentikan dan bayi tersebut juga perlu dijauhkan daripada lelaki yang tidak bertanggungjawab itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengambil tindakan segera bagi melakukan pemeriksaan dan membuat ujian darah terhadap bayi itu untuk memastikan dia tidak terdedah dengan kandungan alkohol.

COMMENTS