Mengapa Saifuddin berdegil beri kontrak pembangunan rangkaian 5G hanya kepada sebuah syarikat?

Mengapa Saifuddin berdegil beri kontrak pembangunan rangkaian 5G hanya kepada sebuah syarikat?

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir menyelar Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berhubung arahan menganugerahkan Syarikat Altel Communications kontrak spektrum 2x5Mhz untuk jalur frekuensi 900Mhz bagi tempoh masa lima tahun.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) itu berkata, penganugerahan kontrak secara arahan menteri (ministerial order) bertarikh 31 Mei itu sebagai sama sekali tidak wajar.

“Tindakan arahan Menteri untuk penganugerahan kontrak spektrum dan 5G adalah tidak
bertanggungjawab ketika mana Parlimen sedang digantung.

“Ini amat dikhuatiri akan membuka ruang kepada ketirisan, monopoli dan mutu perkhidmatan yang lemah yang seterusnya akan menjadi beban kepada rakyat sebagai pengguna,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Akmal berkata, hal tersebut bercanggah dengan tindakan Saifuddin tahun lalu apabila arahan Menteri bagi menganugerahkan kontrak 5G terpaksa dibatalkan apabila mendapat bantahan dan kecaman orang ramai.

“Pada masa yang sama, beliau (Saifuddin) juga menggunakan arahan menteri untuk melantik Digital Nasional Berhad (DNB) sebagai satu-satunya pihak untuk membangunkan infrastruktur dan rangkaian 5G di seluruh negara,” ujarnya.

Tahun lalu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengarahkan pembatalan dan penentuan penggunaan spektrum di dalam jalur frekuensi 700MHz, 900MHz dan 2600MHz atau spektrum 5G susulan isu teknikal, undang-undang serta perlunya mengikut proses yang telus.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, berkata sumber spektrum adalah satu aset negara yang diuruskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Justeru, jelasnya, pengurusan dan kawal selia penggunaan spektrum itu adalah berdasarkan kepada peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000.

Mengulas lanjut, Akmal turut mempersoal kedegilan Saifuddin menggunakan arahan Menteri tanpa melalui proses tender terbuka bagi menganugerahkan kontrak.

“Berapakah jumlah harga yang perlu dibayar syarikat tersebut bagi mendapatkan kontrak tersebut?” soalnya.

Dalam masa sama, beliau juga mempertikaikan kewajaran penganugerahan kontrak dibuat ketika darurat dan Parlimen ditutup yang menyebabkan tiada ketelusan serta proses semak dan imbang.

“Mengapa pembangunan rangkaian 5G hanya diberikan kepada sebuah syarikat sahaja
sedangkan negara kecil lain memiliki sekurang-kurangnya dua penyedia rangkaian 5G bagi mewujudkan persaingan serta memberi pilihan alternatif?” soal Akmal lagi. – MD 

COMMENTS