‘Kerajaan Allah’: Muslihat Hadi tanamkan doktrin

‘Kerajaan Allah’: Muslihat Hadi tanamkan doktrin

Hadi menggunakan retorik “Hanya kerajaan Allah lah yang boleh menamatkan Covid-19”. Nampak macam kenyataan biasa dan tidak harmful. Kepercayaan agama yang naif dan tidak berbahaya.

Biasalah orang Islam mestilah percaya hanya kuasa Allah mampu menghalang Covid-19 kan? Mungkin ada yang berfikir begitu. Saya tidak fikir begitu.

Pertama ialah mentaliti “Hanya Allah sahaja lah yang boleh menyelesaikan Covid-19”. Ini adalah mentaliti agama yang salah. Betul, kita percaya Allah Maha Kuasa, boleh berbuat apa sahaja.

Jika Dia mahu menghentikan bencana, Dia boleh buat. Tapi isunya bukan tentang Allah. Bukan tentang Tuhan. Ia tentang manusia. Tentang bagaimana kita merespon kepada bencana.

Sepanjang sejarah, pelbagai wabak telah muncul, ada bubonic plague (black death), ada spanish flu, manchuarian flu dan macam-macam lagi. Ada juga pelbagai penyakit yang dulunya manusia tidak jumpa penawar.

Namun, dengan usaha dan ikhtiar manusia, berbekalkan perkembangan ilmu dan sains, satu persatu, wabak dan penyakit telah berjaya manusia tangani. Ada penyakit yang dulunya tiada ubat dan vaksin. Kini telah ada penawar. Saintis dan pakar perubatan sama ada percaya kepada Tuhan ataupun tidak telah bertungkus lumus untuk mencari penawar.

Pendek kata, Tuhan tidak termasuk dalam equation ini. Sama ada Tuhan boleh menghentikan pandemik atau tidak, adalah isu yang tidak relevan.

Yang relevan ialah manusia yang percaya kepada Tuhan, menyahut seruan Allah, wajib melawan pandemik dengan segala keilmuan dan penemuan saintifik yang baharu dan melalui tadbir urus yang baik.

Bukannya sekadar beretorik “Hanya Allah saja yang bisa hentikan wabak” dan berdoa. Makanya, tulisan Hadi berkenaan “kerajaan Allah” itu hanyalah alasan semata-mata untuk mengelak bertanggungjawab daripada kelemahan tadbir urus dan upaya untuk bergerak dengan data dan sains.

Setakat ini belum satu pun negara yang kononnya “negara Islam” yang mencipta vaksin untuk kita lawan pandemik ini. Tetapi umat Islam berebut-rebut untuk dapatkan vaksin daripada puak-puak yang dikatakan kafir.

Saya sebut negara, kerana pasangan Muslim berketurunan Turki yang berkerja dengan syarikat Amerika yang berjaya terlibat dalam usaha mencipta vaksin. Nasib baik dia tidak dengar cakap Hadi Awang!

Hadi ini licik dan jahat. Kerajaan Allah itu pada awal tulisan hanyalah teknik “foreshadowing” (bayangan). Dia bagi pembayang dulu. Muslihat untuk menanamkan doktrin yang biasa dibuat oleh cult leader.

Lepas itu di pertengahan perenggan baru dia bagi punchline “akhirnya setelah PH ditumbangkan melalui demokrasi maka ada beberapa Ahli Parlimen kembali ke pangkal jalan”. Jadi, kita faham apa maksud dia?

Dengan kembali ke pangkal jalan, ini bermaksud bersetuju menubuhkan kerajaan pimpinan Melayu Islam yang bernama Perikatan Nasional (PN). Dia pun share tafsir qurtubi tentang meninggalkan kebatilan dan kembali kepada kebenaran. Jadi struktur naratif tulisan dia itu memang disengajakan dan jahat.

Kerajaan Allah – PH batil – PH tumbang – Ahli Parlimen kembali ke pangkal jalan – Ahli Parlimen kembali kepada kebenaran – PN adalah kebenaran – PN tidak sempurna – kutuk atau cuba merampas PN yang tidak sempurna (tetapi sebuah kebenaran) ibarat menjemput kebinasaan.

Secara halus dia menanamkan satu doktrin bahawa kerajaan PN, khususnya yang ada Pas sebagai kerajaan, adalah kerajaan yang diredhai Allah, walaupun tidak sempurna, kerana hanya kerajaan Allah sahaja yang dapat menamatkan Covid-19. Bukannya terletak kepada tadbir urus kerajaan PN/Pas.

Ini bermaksud kerajaan PN/Pas berjaya atau gagal tidak relevan dalam usaha melawan pandemik. Kerana hanya kerajaan Allah yang dapat menyelamatkan kita. Licik bukan?

Mengapa pemimpin-pemimpin agama ini tidak menganjurkan satu naratif baharu dalam melawan pandemik?

Mengapa mereka tidak membentangkan dalil-dalil yang mengatakan umat Islam harus mengumpulkan segala sumber yang ada, kewangan, tenaga dan masa untuk mempercepatkan usaha-usaha mengekang wabak Covid-19?

Mengapa pemimpin-pemimpin agama ini tidak mengajak untuk melabur terhadap sains dan teknologi demi membangunkan vaksin yang berkesan kerana varian Delta dan Lambda nampak gayanya ada unjuran yang boleh overpower vaksin sedia ada. Inilah peluang negara pimpinan umat Islam untuk membuktikan dirinya.

Tetapi tidak, pemimpin agama terutamanya pemimpin politik yang bersalut agama seperi HADI AWANG seringkali memanipulasi kita dengan mentaliti yang kuno dan ketinggalan ke belakang.

Dalam masa yang sama, penuh politiking yang cuba diberi justifikasi agama. – MD

COMMENTS