Gempar! Doktor PAS didenda RM5,000 beri ceramah palsu isu vaksin Sinovac!

Gempar! Doktor PAS didenda RM5,000 beri ceramah palsu isu vaksin Sinovac!

Seorang doktor didenda RM5,000 di Mahkamah Sesyen Kangar selepas mengaku bersalah mengadakan penerbitan yang mengandungi berita tidak benar mengenai vaksin Sinovac di Beseri pada April lalu.

Tertuduh, Dr Jamnul Azhar Mulkan, 53, juga boleh dipenjara selama lima bulan sekiranya gagal membayar denda yang ditetapkan.

Terdahulu, penceramah PAS yang berkerusi roda itu tiba sekitar jam 8.50 pagi sambil ditemani isteri dan anaknya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan nama profil ‘UiDM Polimas’ dengan niat untuk menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam dengan mengadakan penerbitan yang mengandungi berita tidak benar melalui video ceramahnya.

Dia didakwa melakukan perbuatan berkenaan di Klinik Kesihatan Beseri, Padang Besar jam 8.10 pagi pada 20 April lalu.

Tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021 di mana sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, tertuduh juga boleh didenda tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Dia yang faham dengan pertuduhan kemudian membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Musyiri Peet, lapor BH. 

Pendakwaan dilakukan oleh Pengarah Pendakwaan Perlis, Mohd Nordin Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Khairul Hafizuddin Ramli.

Khairul yang mewakili anak guamnya dalam hujahan rayuan berharap agar mahkamah dapat memberikan satu hukuman yang setimpal berdasarkan rayuan bersalah anak guamnya yang dianggap menjimatkan masa dan kos perbicaraan di mahkamah.

Selain itu juga, anak guamnya juga sudah berkahwin dan dikurniakan lapan orang anak berusia antara 15 hingga 30 dimana enam daripadanya masih menuntut di institut pengajian tinggi dan sekolah.

Anak guamnya juga adalah lulusan perubatan dari universiti di Mesir dan walaupun dia mempunyai sebuah klinik di Pendang, dia tidak dapat menguruskan klinik itu secara sepenuh masa disebabkan faktor kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Anak guamnya itu juga bukanlah seorang individu anti vaksin kerana anak guamnya itu sudah pun menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer pada 21 April untuk dos pertama dan 17 Mei bagi dos kedua.

Sementara itu, Mohd Nordin dalam hujahan balasnya pula mahu mahkamah melihat perbuatan tertuduh yang mampu menimbulkan salah faham masyarakat dalam usaha kerajaan memberikan vaksin kepada rakyat.

Perbuatan tertuduh juga mampu merencatkan usaha kerajaan dalam untuk mendapatkan imuniti kelompok dalam kalangan masyarakat berikutan ceramahnya itu tular sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Tertuduh kemudian membayar denda yang ditetapkan sejurus selesai prosiding.

Dr Jamnul Azhar Mulkan (berkerusi roda) dibawa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini selepas prosiding.

 

COMMENTS