Duduk rumah! Kes maut Covid-19 sudah naik 42%!

Duduk rumah! Kes maut Covid-19 sudah naik 42%!

Jumlah kematian akibat Covid-19 merekodkan peningkatan sebanyak 42.1 peratus pada minggu epidemiologi (ME) ke-22 iaitu dalam tempoh 31 Mei hingga 5 Jun lalu berbanding minggu sebelumnya dengan 641 kematian dilaporkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata dalam tempoh ME ke-22, sebanyak 92 purata kematian dilaporkan sehari dengan kadar kes kematian ialah 0.54 peratus sehingga 5 Jun lalu.

“Peningkatan kematian akibat COVID-19 terus direkodkan sejak 10 minggu lalu sejak ME ke-12,” katanya pada sidang media Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

Yang turut hadir, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.

Pada masa sama, Dr Adham berkata turut merekodkan peningkatan pada ME ke-22 ialah kes Covid-19 di unit rawatan rapi iaitu 886 kes sehingga 5 Jun lalu.

Beliau berkata, purata kes ICU pada ME ke-22 ialah 871 iaitu peningkatan sebanyak 15.1 peratus atau 114 berbanding ME ke-21. – BH

COMMENTS