580,000 syarikat kecil berisiko gulung tikar, 14 juta rakyat bakal terjejas

580,000 syarikat kecil berisiko gulung tikar, 14 juta rakyat bakal terjejas

Dianggarkan 580,000 perniagaan yang mewakili 49 peratus daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) berdepan risiko gulung tikar menjelang Oktober ini sekiranya mereka terus tidak diberi kebenaran beroperasi.

Penutupan perniagaan itu juga menyebabkan lebih tujuh juta rakyat dijangka hilang pekerjaan dengan anggaran setiap daripadanya mempunyai dua tanggungan, iaitu menyebabkan 14 juta rakyat terjejas, lapor BH.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata perkara itu adalah satu kebenaran walaupun pahit, namun ia perlu dimaklumkan supaya masyarakat menyedari keadaan mendesak dihadapi sektor MSME tempatan, di samping kepentingan untuk tampil dengan tindakan pemulihan yang tepat bagi menangani isu berkenaan.

“Kegagalan menyelesaikan masalah ini akan memberi kesan buruk terhadap landskap sosio ekonomi negara seterusnya memberi kesan kepada kesejahteraan dan kebahagiaan rakyat keseluruhannya.

“Jika kita tidak berbuat sesuatu untuk membantu golongan ini, saya khuatir MSME akan gagal, sekali gus tidak dapat membantu pemulihan ekonomi negara apabila perniagaan dibenarkan beroperasi semula,” kata pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) pada 15 hingga 28 Jun lalu mengadakan kaji selidik bagi mengukur kesan fasa perintah kawalan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) terhadap landskap keusahawanan membabitkan 6,664 responden di seluruh negara.

Kaji selidik itu mendapati, banyak syarikat MSME kini menderita sindrom ‘keletihan perniagaan’ dan penyusutan keyakinan akibat fasa perintah kawalan dalam PPN.

Kira-kira satu pertiga daripada responden pula berkata, mereka masih belum menerima sebarang bantuan yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Sementara itu, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, isu kesihatan mental juga antara perkara membimbangkan dalam kaji selidik itu apabila hampir 60 peratus usahawan menderita sekurang-kurangnya satu jenis keadaan kesihatan mental sepanjang tempoh fasa perintah kawalan dalam PPN.

“Tiga faktor utama yang menjejaskan tahap kesihatan mental usahawan ialah penyusutan dan kehilangan pendapatan, isu hutang dan kewangan serta risiko gulung tikar.

“Kebanyakan usahawan bimbang mengenai masa depan mereka, sekali gus menyumbang kepada tahap tekanan lebih tinggi yang menjejaskan mental dan emosi.

“Lebih daripada 90 peratus usahawan ini tiada insurans dan 70 peratus lagi tiada jaringan keselamatan untuk bergantung harap sekiranya mereka hilang kerja,” katanya.

 

COMMENTS